Monday, June 20, 2011

Letter (BM/Cn) by YAB Lim Guan Eng to Dato Sri Liow Tiong Lai on Terminating the Contract of Hospital Maintenance Company

PSUKPP/21/

20 Jun 2011

YB Dato Sri Liow Tiong Lai
Menteri Kesihatan Malaysia
Ibu Pejabat KKM Blok E1, E6, E7 & E10
Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya

Yang Berhormat Dato’ Sri,

MEMBATALKAN KONTRAK PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN OLEH FABER MEDI-SERVE SDN BHD UNTUK SEMUA HOSPITAL DI PULAU PINANG DEMI MENJAMIN KESELAMATAN AWAM

Dengan segala hormatnya saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat Dato’ Sri kepada perkara di atas.

2. Kerajaan Negeri ingin meluahkan rasa kesal terhadap Faber Medi-Serve Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan untuk memberi perkhidmatan penyelenggaraan kepada 72 buah hospital kerajaan di seluruh Negara.

3. Kegagalan dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh syarikat tersebut dalam tempoh masa setahun ini di Hospital Besar Pulau Pinang adalah seperti berikut :

i) bumbung runtuh di wad bersalin yang telah mencederakan orang awam
ii) pembiakan nyamuk aedes di persekitaran hospital
iii) alat pemadam api yang gagal berfungsi
iv) “manhole” yang tidak bertutup dalam lorong koridor awam yang telah mencederakan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang selepas beliau terjatuh ke dalamnya

Kejadian sedih yang mencederakan orang awam memang memalukan dan mengancam keselamatan awam.

4. Berdasarkan kepada kecuaian dan kegagalan syarikat tersebut, Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Pusat untuk menamatkan kontrak perkhidmatan yang telah diberikan kepada syarikat tersebut di Pulau Pinang dan melantik menerusi sistem tender terbuka seorang kontraktor yang lebih berwibawa dalam tugasan tersebut demi menjamin kesejahteraan rakyatnya.

5. Kerajaan Negeri amat prihatin akan keselamatan warga Pulau Pinang yang mengunjungi Hospital Besar Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan. Sekiranya Ketua Polis Negeri Pulau Pinang pun boleh tercedera atas kecuaian pihak kontraktor yang tidak menutup “manhole” dalam lorong koridor orang awam, kualiti perkhidmatan syarikat tersebut memang buruk sekali sehingga mengancam keselamatan awam.

6. Janganlah pihak Kementerian bertindak hanya apabila berlaku kematian. Oleh yang demikian, diharap pihak Yang Berhormat Dato’ Sri dapat mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri agar kontrak yang diberikan kepada syarikat tersebut dapat dibatalkan segera.

7. Pertimbangan Yang Berhormat Dato’ Sri amat dihargai dan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian.


“CEKAP, AKAUNTABILITI DAN TELUS”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”


Yang ikhlas,






LIM GUAN ENG
Ketua Menteri Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment