Datuk Seri Najib Razak digesa menunaikan janjinya untuk memberi ruang lebih bebas kepada pengamal media arus perdana dan internet seperti seruannya tidak lama selepas dilantik perdana menteri.
Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), sebuah NGO pemantau kebebasan akhbar yang berpangkalan di New York, membuat gesaan itu dalam suratnya kepada Najib semalam.
Sambil menyifatkan hasrat awal perdana menteri untuk melihat kebebasan akhbar sebagai "isyarat positif untuk reformasi", CPJ menyampaikan keprihatinannya selama ini berhubung ruang terhad untuk pengamal media di Malaysia.
NGO itu juga menyatakan rasa senangnya dengan janji Najib untuk menyemak semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tindakannya menarik balik penggantungan dua akhbar pembangkang berpengaruh Harakah dan Suara Keadilan.
CPJ bagaimanapun kecewa dengan penahanan beberapa aktivis media, penulis kolum dan wartawan seminggu lalu berikutan persidangan DUN Perak, selain penangkapan lebih 100 lagi, termasuk ahli parlimen dan ADUN.
"Sekurang-kurangnya dua wartawan, Law Tech Hao, editor Suara Keadilan (edisi Cina), dan Josh Hong, penulis kolum Malaysiakini, ditahan sewaktu membuat liputan perhimpunan menyalakan lilin menyoking Wong Chin Huat," kata pengarah eksekutif CPJ Joel Simon dalam surat tersebut.
Dua pengamal media itu ditahan bersama 32 yang lain dua malam berturut-turut di depan balai polis Brickfields, Kuala Lumpur dalam perhimpunan menyokong Wong, seorang aktivis media bersama Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami).
Wong - yang menjadi jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dalam kempen "1Black Malaysia" untuk membantah persidangan DUN Perak - ditahan reman tiga hari sehingga 8 April lalu.
Menurut Simon lagi, penahanan Hong "meneruskan lagi trend mengkhuatirkan" berhubung kawalan kerajaan terhadap kebebasan internet, termasuk menahan penulis blog terkenal Raja Petra Kamaruddin bawah ISA tahun lalu.
"Anda berjanji dalam ucapan umum untuk mewujudkan 'Satu Malaysia', satu seruan pembaharuan, seperti ucapan sulung pada 3 April, untuk 'mendahulukan rakyat'
"CPJ percaya bahawa satu langkah bermakna ke arah itu memerlukan perubahan menyeluruh terhadap banyak undang-undang dan dasar yang selam ini digunakan untuk menggugat kebebasan akhbar di negara anda," surat bertarikh 14 April dipetik.
NGO itu juga menggesa kerajaan membatalkan amalan permit penerbitan bagi media cetak yang selalunya digunakan untuk menekan pengarang dan wartawan agar melembutkan atau menyaring pemberitaan mereka.
Dalam surat sama, CPJ juga mendesak pemansuhan ISA, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, undang-undang jenayah fitnah — semuanya itu mengutamakan idea keselamatan negara mengatasi kebebasan media.
Salinan surat tersebut dikirimkan kepada menteri penerangan Datuk Seri Dr Rais Yatim; setiausaha agung Asean, Surin Pitsuwan; setiausaha agung Komanwel, Kamalesh Sharma; duta Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, James R Keith dan unit kebebasan bersuara Unesco.
No comments:
Post a Comment